King Crab

king crab border
 

Red King Crab, juga dikenali sebagai “Lithodes Santolla” merupakan salah satu produk laut premium di dunia. Tergolong dalam keluarga yang sama dengan Alaskan King Crab yang banyak terdapat di hemisfera utara. Ketam jenis ini ditangkap liar di perairan selatan Amerika Latin yang sejuk serta tidak tercemar dan ada yang dikatakan hidup sehingga ke Antartika pada suhu di bawah paras beku.

 

Ketam Raja merupakan antara spesis ketam dengan saiz gergasi. Ia boleh membesar sehingga 4 kilogram dan ada yang mencecah sehingga 8 kilogram seekor. Ketam Raja ialah sumber makanan yang kaya dengan Vitamin C, Protein, Vitamin B12, Fosforus, Zink, Selenium, Folat dan Magnesium. Kebaikan Ketam Raja yang tidak diketahui ramai ialah ketam ini mempunyai kadar lemak tepu yang rendah.

 

Dalam memastikan kesinambungan dan perlindungan spesis, penangkapan ketam raja diletakkan di bawah piawaian alam sekitar yang ketat. Antara peraturan yang ditetapkan ialah penetapan saiz minimum yang mana saiz yang dibenarkan untuk ditangkap ialah apabila saiz ‘carapace’ mencapai 125 milimeter, ataupun dalam lingkungan 700 gram. Selain itu, tempoh penangkapan juga dihadkan sekitar bulan Julai sehingga November sahaja berbanding penangkapan sepanjang tahun. Bagi memastikan lagi spesis ini dapat dibekalkan secara berterusan, hanya ketam jantan sahaja yang dibenarkan untuk ditangkap.

 

Ketam Raja adalah makanan laut yang terunggul dalam kategorinya. Isinya putih salji diulit membran merah yang sangat menyelerakan. Kulit nipis merah cerahnya pula seakan menunjukkan kelazatannya yang setanding namanya.