Ketam Kulit Lembut

soft shell crab border

 

Ketam kulit lembut adalah suatu istilah kulinari untuk ketam yang bersalin kulit dan masih belum mengeras. Ketam jenis ini bukanlah suatu spesis ketam yang baharu ataupun dikopak kulitnya tetapi ia adalah dari jenis ketam Nipah (Scylla Serrata) yang perlu bersalin kulit dalam proses untuk terus membesar.

 

Proses bersalin kulit bermula apabila ketam mengeluarkan kulit sedia adanya yang keras dan telah sempit. Kulit ini kemudiannya akan diganti dengan kulit baharu yang lembut dan pada waktu inilah ketam akan mengembangkan saiznya. Selepas proses bersalin kulit ini berlaku, kulit ketam yang baharu akan mengeras hanya dalam masa beberapa jam sahaja sekiranya masih dibiarkan di dalam air. Oleh itu bagi memastikan ketam-ketam ini dapat diperoleh semasa masih dalam keadaan lembut, ianya ditangkap beberapa hari sebelum bersalin kulit dan dipantau keadaannya di dalam tangki.

 

Ketam kulit lembut sedap dimasak goreng tempura, goreng kunyit atau digoreng bersama telur masin. Apa yang menarik tentang ketam kulit lembut ini ialah ianya boleh dimakan kesemuanya sekali tanpa perlu bersusah payah untuk membuang kulit.