Canadian Lobster

american live lobster border
 

Canadian Lobster, atau bahasa saintifiknya “Homarus Americanus” adalah spesis lobster yang terdapat di Laut Atlantik Utara bermula dari New Jersey hingga ke wilayah-wilayah maritim Kanada. Ianya juga dikenali dengan pelbagai nama panggilan seperti Maine Lobster, Boston Lobster, American Lobster, Atlantic Lobster ataupun Northern Lobster di sesetengah tempat. Ia adalah antara krustasia laut terbesar dan paling lama hidup, sesetengahnya ada yang mencapai sehingga 5o tahun.

 

Merupakan spesis marin yang sangat mudah dikenali berdasarkan dua sepit besar yang dimilikinya. Sepit lobster mempunyai saiz yang berbeza. Sepit yang lebih besar berfungsi untuk menghancurkan objek manakala sepit yang lebih kecil pula mempunyai gerigi tajam dan digunakan untuk memotong. Warna lobster secara umumnya ialah hijau-biru dan juga merah-coklat bergantung kepada habitat mereka. Hidup di dasar laut dan bergerak menggunakan empat pasang kaki. Antena lobster merupakan salah satu daripada organ deria dan bertindak sebagai reseptor sentuhan.

 

Lobster boleh ditangkap apabila mencapai saiz komersial. Saiz yang dibenarkan ialah apabila ‘carapace’ lobster mencecah panjang 71-84 milimeter, iaitu apabila mereka berumur antara 6 hingga 10 tahun. Bagi mencapai saiz komersial ini, lobster perlu bersalin kulit sebanyak 10-20 kali. Menurut ‘Guinness World Record’, lobster terbesar yang pernah ditemui menjangkau lebih daripada 20 kg, menjadikannya spesis udang yang paling berat di dunia.

 

Canadian Lobster secara amnya ditemui pada kedalaman laut kurang daripada 50 meter. Namun ada juga yang pernah ditemui pada kedalaman sehingga 700 meter. Habitatnya di Laut Atlantik Utara yang sejuk pula menjadikan isinya lebih lembut, manis serta terjaga kesegarannya.